Rabu, 10 Julai 2013

CERGAS SIHAT DI BULAN RAMADHAN

Sebagai umat Islam, kedatangan bulan Ramadhan adalah yang paling ditunggu-tunggu kerana penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Kebanyakan daripada kita mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk menumpukan kepada aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan dan memperbanyakkan ibadat dan berehat seketika daripada melakukan aktiviti luar dan lasak. Kepenatan setelah seharian penat berpuasa menyebabkan kita tidak lagi memikirkan tentang perlunya melakukan aktiviti-aktiviti yang berbentuk kecergasan. Memang tidak dinafikan apabila kita berpuasa, badan akan menjadi letih disebabkan oleh kekurangan tenaga di dalam badan. Faktor cuaca di negara kita yang panas dan keadaan di sekeliling kita terutama di bandar-bandar besar juga menjadi faktor yang menyebabkan badan kita mengalami keletihan dan menjadi lesu.

Namun begitu, kita tidak seharusnya alpa dan lalai dalam mengambil berat tentang aspek penjagaan kesihatan diri kita. Alasan berpuasa tidak seharusnya membolehkan kita menjadi malas seperti hanya duduk di depan televisyen dan menghabiskan masa di siang hari dengan tidur. Jika kita tidak mengambil berat tentang aspek pemakanan ia sedikit sebanyak akan menyebabkan kita terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung, risiko menjadi obesiti dan lain-lain lagi.

Walaupun sedang berpuasa, kita juga boleh terus kekal cergas dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman ringan bergantung kepada keupayaan seseorang individu itu. Bulan puasa tidak boleh dianggap sebagai bulan untuk berehat dari melakukan aktiviti-aktiviti berbentuk kecergasan. Kebanyakan daripada kita menganggap bulan puasa sebagai platform untuk menguruskan badan dan mendapatkan bentuk badan yang menarik. Hakikat ini memang tidak dapat dinafikan, namun begitu dengan mengamalkan diet sahaja ia sebenarnya tidak membantu kita untuk kekal cergas di bulan puasa ini. Kepelbagaian pengambilan jenis makanan sewaktu berbuka puasa menyebabkan badan kita tidak dapat menghadam dan memproses makan dengan sempurna. Ini ditambah pula dengan makanan yang berlemak dan berminyak serta aneka kuih-muih yang manis menyebabkan lemak-lemak yang tidak dapat dihadam tadi tersekat dan berkumpul di sekitar saluran darah. Setiap kalori yang terkandung di dalam makanan perlu dibakar dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersenam. Selain dapat mengeluarkan peluh, ia juga membantu melancarkan aliran darah dalam badan dan membantu meningkatkan kekuatan otot bergantung kepada jenis aktiviti yang kita lakukan.

Waktu yang paling ideal untuk kita bersenam di bulan puasa sebenarnya bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian masa individu itu sendiri. Namun begitu waktu petang sebelum berbuka puasa adalah masa yang paling sesuai. Ini kerana kekurangan cecair yang diperlukan akan dapat diganti semula sejurus selepas waktu berbuka puasa. Aktiviti senaman ringan seperti berjalan pantas dan berbasikal sudah memadai untuk membantu membakar lemak di dalam badan. Bagi yang lebih berkeupayaan atau mereka yang biasa bersukan, mereka boleh teruskan dengan rutin riadah harian mereka seperti bermain tenis, berjoging mahupun berkebun asalkan tidak memudaratkan dan mendorong kepada keinginan untuk berbuka puasa sebelum waktunya.

Pada waktu ini kekurangan glycogen di dalam badan kerana berpuasa akan membantu proses pembakaran lemak. Glycogen bermaksud tenaga yang kebanyakannya ialah glukos yang tersimpan di dalam badan (hati) yang berpunca daripada makanan yang kita ambil samada ketika bersahur ataupun berbuka. Sewaktu bersenam ataupun melakukan aktiviti-aktiviti fizikal, kadar nadi dan pernafasan kita akan menjadi lebih cepat berbanding biasa. Oleh itu, badan kita memerlukan tenaga untuk membolehkan kadar nadi dan pernafasan kita menjadi cepat. Tenaga yang terhasil daripada makanan yang kita ambil akan digunakan sewaktu kita bersenam. Namun begitu, kita harus lebih berhati-hati ketika melakukan senaman di bulan puasa bagi mengelakkan daripada ”dehydration”. Keadaan ini mudah terjadi kerana badan kita kekurangan cecair yang diperlukan disebabkan berpuasa. Ditambah pula dengan peluh yang terhasil akan menyebabkan kita mudah terdedah kepada situasi yang berisiko ini. Antara simptom-simptom ’dehydration’ ialah pening, penglihatan menjadi kabur dan air kencing pekat.

Selain daripada waktu petang, kita juga boleh melakukan aktiviti senaman di sebelah malam iaitu selepas waktu berbuka puasa dan solat tarawikh. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan mestilah bersesuaian dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan kita. Ini kerana makanan yang diambil sewaktu berbuka tidak dapat dihadamkan sepenuhnya. Ia mungkin akan menimbulkan ketidakselesaan kepada kita jika terus melakukan aktiviti-aktiviti berat seperti latihan mengangkat beban dan sebagainya.

Untuk kekal cergas di bulan Ramadhan, adalah disarankan juga bagi mereka yang tidak berkemampuan atau berkeupayaan untuk bersenam atau bersukan, supaya melakukan aktiviti fizikal harian seperti mengemas rumah, berkebun, membasuh kereta dan berjalan sebagai alternatif untuk mereka cergas di bulan puasa ini. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal ini, otot-otot di dalam badan akan dirangsang untuk lebih bertenaga dan menjadikan kita berasa sihat. Sebagai contoh sudah memadai bagi suri rumah jika tidak berkesempatan untuk bersenam dengan menggantikannya dengan aktiviti seperti mengemas rumah dan membersihkan halaman rumah. Selain dapat menggerakkan otot-otot tubuh badan, kita akan dapat mengelakkan diri daripada menjadi malas. Selain itu, aktiviti fizikal seperti menaiki tangga dan berjalan juga membantu menjadikan kita cergas walapun di bulan puasa ini.

Sebelum kita melakukan aktiviti senaman dan bersukan kita harus menilai keupayaan badan dan kemampuan kita.Setiap individu adalah berbeza tahap kesihatan dan keupayaan anggota tubuh badannya. Komposisi tubuh dan ketahanan badan mereka juga tidak sama dengan individu yang lain. Hal ini penting sekiranya seseorang itu menghidapi penyakit seperti kencing manis dan sebagainya. Badan seorang pesakit itu sensitif dan mudah terdedah kepada risiko kesihatan yang lain jika tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pakar. Sekiranya mereka ingin juga melakukan aktiviti senaman di bulan puasa ini adalah disarankan supaya mereka mendapatkan nasihat dan pandangan doktor untuk mengelakkan sebarang implikasi buruk.

Apa yang penting sekiranya kita ingin kekal cergas dan sihat di bulan puasa ini, amalan melakukan aktiviti fizikal dan senaman merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan selain daripada penjagaan makanan yang teratur. Sebelum melakukan sebarang aktiviti senaman kita mestilah melakukan aktiviti memanaskan badan dan menyejukkan badan selepas selesai bersenam. Amalkanlah aktiviti fizikal dan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan 30 minit setiap sesi. Kombinasi di antara pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal yang bersesuaian dan rehat yang secukupnya dapat menjadikan badan kita lebih sihat meskipun sedang berpuasa. Ditambah pula dengan keberkatan dengan memperbanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini, tidak mustahil kita akan lebih sihat daripada bulan-bulan lain.

Selasa, 9 Julai 2013

KELEBIHAN MALAM PERTAMA RAMADHAN

Beberapa hadis yang menerangkan kebaikan, keistimewaan dan kelebihan bulan Ramdhan ini ialah:

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga".

(Hadis Sahih - Riwayat Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Apabila masuk bulan Ramadhan,  terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".

(Hadis Sahih - Riwayat Muslim)


Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya:

"Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: "Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan!  Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan!  Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka - daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan)." 

(Riwayat Tirmizi dan Nasa'i)


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan."

(Riwayat At-Tirmidzi)


Dari Salman r.a, katanya: Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya :

"Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat.  Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).

"Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya".

"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan - samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu - samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain".

"Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga;  ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman".

"Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa,  maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun".

"Sababat-sababat Baginda berkata:  "Ya Rasulullah,  kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa. " Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. "Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat,  pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka".

"Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka".

"Banyakkanlah kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadhan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan.

Ada pun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu itu ialah:

Pertama - mengucap: 


Kedua - banyakkan beristigfar dengan menyebut :

istigfar


Ada pun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah: 

Pertama (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga,  serta berlindung kepadanya dari azab neraka - dengan menyebut:


doa

"Dan selain itu, (sabda Baginda lagi): Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga.

(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).

sumber hadis : Islamgrid.gov.my, 


Antara amalan-amalan yang boleh diamalkan pada bulan Ramadhan ialah:

1) Membaca dan bertadarus Al-Quran.

2) Menunaikan solat Tarawih.

3) Memberi sedekah.

4) Banyakkan berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

5) Menjamu orang berpuasa berbuka puasa.


Banyakkanlah melakukan amalan yang baik kerana pada bulan Ramadhan ini amalan kita akan dilipat gandakan. Di samping itu, bulan Ramadhan ini juga dapat membantu sesiapa sahaja yang ingin mengurangkan berat badan dan mendapatkan kesihatan yang lebih baik. Semoga Ramadhan kita pada tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

CARA BUAT DUIT DI RUMAH

DOA-DOA UNTUK MEMUSNAHKAN SEL-SEL KANSER.

Lapan surah ini diamalkan dan dibaca untuk memusnahkan sel-sel barah kanser. Jika pesakit dapat membacanya lagi baik. Jika tak terdaya atau kurang baik bacaannya maka boleh minta suami, ayah, ibu atau orang lain membaca untuknya.

Selok-eloknya sebelum memulakan bacaan surah dibawah :



1. Istighfar 10x. 

2. Salawat Nabi 10x. 

3. Al-Fatihah 1x.



Sediakan sebotol secukupnya air yang bersih lagi suci dan setiap kali habis surah dibaca, ditiupkan kepada air. Pesakit dinasihat minum air bacaan tiap-tiap hari dan sapu/mandi pada anggota yang kena barah kanser. InsyaAllah kerana sakit dan sembuh semua kekuasaanNya.


1. Surah Al Maidah (Ayat 82-91). 
2. Surah Al Araf (Ayat 70-81). 
3. Surah Ar Ra'd (Ayat 16-28). 
4. Surah Al Anbiyaa' (Ayat 38-50). 
5. Surah Asy Syu'ara (Ayat 185-227). 
6. Surah Az Zummar (Ayat 42-52). 
7. Surah Ghafir (Ayat 67-77). 
8. Surah Az Zukhruf (Ayat 52-70).

Kepada pembaca tolong sebarkan kepada ahli keluarga dan saudara yang sedang mengidap penyakit kanser. Semoga dengan menolong mereka yang sakit, akan juga mendapat pahala dari bacaannya serta pahala kerana menolong sesama hamba yang benar-benar memerlukan pertolongan dan penyembuhan dari-Nya.

RAMADHAN : PENUH DENGAN KEBERKATAN

Kedatangan bulan Ramadan menandakan telah berakhirnya bulan Syaaban. Ramadan adalah bulan yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam di dunia ini.

Bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Bulan yang juga dikenali sebagai bulan untuk kita berpesta ibadah.  Bagaimanapun, ia terpulang kepada kita bagaimana untuk kita menghayati kedatangan bulan ini .

Apakah kelebihan bulan ini sehingga dinanti-nanti oleh sesetengah umat Islam, khususnya mereka yang ingin meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Bulan Ramadan adalah bulan yang disebut oleh Allah s.w.t dengan jelas sekali di dalam firmannya yang bermaksud: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran. (al-Baqarah: 185).  Di dalam ayat ini bukankah Allah s.w.t dengan jelasnya menyebut tentang bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan Islam lain yang tidak disebut secara nyata oleh Allah s.w.t. Ini adalah sebagai pengiktirafan Allah s.w.t di dalam al-Quran tentang kelebihan bulan ini.

Panduan Al-Quran adalah petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi panduan yang memperjelaskan antara yang benar dan yang batil. Al-Quran adalah sumber untuk mencari ketenangan di dunia dan mencari keredaan Allah s.w.t di akhirat seperti mana maksud firman Allah s.w.t: Menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185).

Sebagai bulan yang penuh dengan kerahmatan, maka Allah s.w.t memilih Ramadan sebagai bulan yang diturunkan kitab yang paling mulia ini sebagai panduan kepada manusia. Kelebihan ini telah diperkukuhkan dengan maksud firman Allah: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran. (al-Baqarah : 185).

Bulan Ramadan juga mengandungi satu malam yang lebih baik dari seribu malam. Malam tersebut dikenali sebagai Lailatul Qadr. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (Al-Qadr: 1-3)  Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah s.w.t menurunkan al-Quran pada malam Lailatul Qadr, dan al-Quran pula jika kita rujuk kepada ayat 185 surah al-Baqarah diturunkan pada bulan Ramadan.

Maka ini juga merupakan satu kelebihan yang dianugerahkan pada bulan Ramadan. Ibadah puasa merupakan ibadah yang diwajibkan kepada umat Islam dan umat terdahulu, perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w, ibadah puasa telah difardukan kepada umat sebelumnya. Tetapi cara perlaksanaan tidak sama seperti ibadah puasa umat nabi Muhammad. Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih bulan Ramadan sebagai bulan yang diwajibkan kepada umat Islam untuk berpuasa.

Bulan-bulan Islam lain hanyalah untuk kita berpuasa ganti atau nazar. Ibn Abbas meriwayatkan: Rasulullah s.a.w tidak pernah berpuasa satu bulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Ini merupakan kurniaan Allah s.a.w kepada umat Islam di bulan Ramadan. Maka sama-sama kita berusaha untuk melaksanakannya dengan sempurna.

Pada bulan Ramadan juga umat Islam disunatkan solat tarawih secara berjemaah di masjid. Solat tarawih merupakan ibadah khusus yang disyariatkan oleh Allah s.w.t pada malam bulan Ramadan sahaja.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim).  Solat ini kenali sebagai solat tarawih kerana setiap empat rakaat, jemaah akan berehat seketika. Jika kita perhatikan jemaah pada zaman ini, selepas empat rakaat, jemaah akan berselawat ke atas nabi s.a.w. Allah s.w.t juga telah membuka semua pintu-pintu syurga pada bulan Ramadan.

Sabda nabi s.a.w : “Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga”. Hadis ini membawa kepada maksud yang tersurat dan tersirat.  Seperti yang kita maklum, jika dilihat secara zahirnya, hadis di atas menunjukkan antara tanda apabila datangnya bulan Ramadan, maka Allah s.w.t akan membuka pintu syurga kepada orang- orang yang beriman.

Maksud yang tersirat pula, sesungguhnya pada bulan Ramadan Allah s.w.t memperluaskan keampunannya, di samping melipat gandakan ganjaran kepada hamba-hambanya yang yang melaksanakan ibadahnya dengan sempurna. Selain membuka kesemua pintu syurga, Allah s.w.t juga menutup semua pintu-pintu nerakanya.

Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. (Riwayat Muslim).  Tujuan Allah s.w.t menutup pintu neraka dan menghentikan seketika azabnya adalah bagi memperlihatkan kepada umat Islam betapa bulan ini dimuliakan oleh Allah s.w.t.

Pada bulan Ramadan juga Allah membelenggu syaitan, seperti mana sabda nabi s.a.w: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Muslim).  Syaitan-syaitan ini dibelenggu supaya memudahkan umat Islam melakukan ibadah tanpa ada gangguan. Ketika itu hanya nafsu yang berperanan dalam menentukan hala tuju ibadah kita dan membolehkan kita menilai sejauh mana tahap keimanan diri kita tanpa ada gangguan syaitan.

Maka tidak mustahil mengapa kedatangan bulan Ramadan ini amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Bersama-masalah kita menyambut kedatangan Ramadan ini dengan mengerjakan sebanyak mungkin ibadah yang dituntut.  Semoga dengan bermula Ramadan kali ini akan memantapkan keimanan kita sehinggalah Ramadan menjelang lagi.

Rabu, 13 Julai 2011

KELEBIHAN SYAABAN

Sempena kedatangan Syaaban marilah kita banyakkan amalan di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan.

Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.

Barangsiapa yang berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Sya’aban, dimudahkan Allah atasnya Sakrotulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada hura-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya.

Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya’aban dan akhir khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).

Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.

Sabda Nabi s.a.w.: Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa puasa Syabaan kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya’aban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya, antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Ta’ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban. Pengertian Sya’aban: Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak, Cahaya.

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur’an atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia’ (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.

Bulan Sya’aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya’aban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah beri padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang menyengutukan (syirik) denganNya dengan sesuatu, kecuali: tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibubapa.

Sabtu, 13 November 2010

PATRIOTIKKAH KITA

Kenyataan Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi mengenai kekhuatiran beliau terhadap golongan bukan Melayu yang kurang terlibat dalam arena Pertahanan Negara telah mendapat perhatian banyak pihak. Sebagai individu yang bertanggungjawab menerajui Kementerian Pertahanan, adalah menjadi tanggungjawab beliau menyatakan kegusaran yang menjelma dalam diri beliau. Dan telah dinyatakan melalui saluran yang betul dengan harapan mendapat reaksi positif dari banyak pihak.

Namun kenyataan beliau telah dimainkan oleh pihak tertentu untuk meraih sokongan rakyat dengan mengatakan apa yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Zahid adalah kenyataan berbentuk perkauman. Apa yang perkaumannya? Kenyataan Dato' Seri Zahid jelas menunjukkan bahawa beliau dan Kementerian Pertahanan mengambil berat tentang isu ini. Beliau hanya mahu memastikan semua golongan yang bergelar rakyat Malaysia mempunyai semangat Patriotik. Ianya tidak salah. Malah pemimpin-pemimpin di Malaysia wajar mengambil berat tentang isu ini.

Patriotisme dan agama adalah dua perkara yang cukup sensitif. Tetapi sensitivitif itu ada masanya tidak bertempat. Dalam hal berkaitan agama misalnya, seseorang itu amat marah jika dikatakan jahil dalam hal-hal agama, malah sanggup membunuh jika dikatakan demikian. Walaupun pada hakikatnya beliau sebenarnya memang jahil dalam hal-hal agama. Dalam masyarakat Islam di Malaysia hari ini ramai yang tidak tahu solat yang merupakan perkara asas dan tiang agama. Islam hanya pada nama, tetapi tidak pada amalan. Kelas-kelas agama sering menjadi lesu kerana kurang mendapat perhatian. Tetapi ceramah-ceramah politik sangat menjadi perhatian, walhal pada ceramah politik bukannya kita boleh membuka kitab agama untuk mendapat jawapan kepada kekeliruan berkaitan agama. Cuba kita kata rakyat Malaysia beragama Islam semakin jahil, sudah tentu ramai yang marah.

Begitulah dengan apa yang dikatakan oleh Dato’ Seri Zahid tentang kurangnya semangat patriotisme di kalangan mereka yang tidak berminat menyertai angkatan tentera. Sebagai rakyat yang sayangkan negara Malaysia, kenyataan Dato’ Seri Zahid harus diterima dengan hati yang terbuka. Sensitif kita patut bertempat. Golongan muda semua kaum pada hari ini sebenarnya telah kurang semangat patriotisme. Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan tidak lagi dapat disebut dengan jelas oleh remaja hari ini. Bila melukis atau membuat bendera Malaysia, susunan jalur bendera sering disusun dengan susunan yang tidak betul. Tanyalah kepada ramai rakyat Malaysia hari ini tentang susunan jalur pada bendera Malaysia, pasti ramai yang tidak boleh menjawab dengan tepat. Kalau ada yang boleh menjawab, itupun masih dengan perasaan was-was. Pernah sebuah sekolah menengah, di Bachok, Kelantan mencipta bendera Malaysia terbesar daripada tempurung kelapa sempena sambutan bulan kemerdekaan. Terpampang bangga di akhbar, tetapi tidak sedar dengan susunan jalur yang salah. Itu berlaku di sebuah institusi pendidikan. Kalau dikatakan warga sekolah tersebut jahil dan tidak patriotik, sudah pasti seluruh warga sekolah menengah tersebut mengamuk dan tidak puas hati.

Kita hari ini harus bangkit dari tidur yang panjang tanpa meletak kepentingan politik dalam memertabatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat agar wujud perpaduan yang adil dan sama rata. Biarlah permainan politik hanya pada masa pilihanraya sahaja. Pada waktu lain kita duduk bersama dalam menentukan hala tuju negara kita agar mampu bersaing dengan negara maju yang lain. Kedudukan agama harus dipertingkatkan agar kita semua mempunyai pegangan agama yang kukuh, sementara semangat patriotisme juga harus diterap secara berterusan agar generasi hari ini sedar di mana bumi dipijak, dan langit mana yang kita dijunjung.